Menu Close

Sewa atau beli rumah, mana sebenarnya lebih bagus?

sewa picture

Gambar oleh suriaamanda.com

SEWA VS BELI RUMAH

“Sewa rumah mahal lah, ini semua kapitalis!”

“Belilah rumah, tak rugi”

“Rumah boleh jadi aset”

“Harga rumah makin lama makin mahal tau”

 

Selalu dengar ayat ini? Pakar kewangan sering nasihatkan kita, beli lah rumah. Tapi adakah kita betul-betul dah bersedia untuk beli rumah?

Rumah merupakan keperluan asas manusia. Rumah yang selesa dapat memudahkan kita beristirehat bersama keluarga tersayang.

Jika kita bujang dan baru sahaja mula bekerja di bandar besar, rumah sewa yang selesa merupakan pilihan utama kita untuk berehat. Dengan rehat yang cukup, kita dapat fokus lebih kepada urusan seharian seperti kerja, berniaga atau belajar.

Sebelum kita buat keputusan sama ada nak sewa atau beli rumah, teliti dulu 3 perkara ini:

1. Deposit

“Okay nanti depo 2+1 ya”

“Depo 1+1”

“Depo 1+1+1/2”

“Depo 10% je”

Apa itu deposit? Secara definisi, deposit ialah sebahagian daripada bayaran berupa wang yang dibayarkan (sebahagian lagi adalah hutang).

Dalam situasi menyewa, jika ada berlaku sebarang kerosakan atau tunggakan, maka deposit atau cagaran ini akan digunakan oleh tuan rumah untuk baiki kerosakan yang dibuat oleh penyewa. Kalau tiada sebarang kerosakan, duit deposit ini akan dipulangkan.

 

Jika kita buat pengiraan kasar untuk sewa rumah,

Sewa bulanan: RM 1,000

Deposit 2+ 1: (2 x RM 1,000) + RM 1,000 = RM 3,000

Jadi, deposit sewa yang kita perlu keluarkan ialah RM 3,000

 

Dalam situasi pembelian rumah pula, deposit atau down payment yang biasanya dikenakan ialah 10% daripada harga rumah. Bank kebiasaannya akan luluskan maksimum pinjaman 90% sahaja daripada harga rumah kecuali dalam situasi tertentu.

 

Jika kita buat pengiraan kasar untuk beli rumah,

Harga rumah: RM 300,000

Deposit/down payment 10%: 10% x RM 300,000 = RM 30,000

Jadi, down payment yang kita perlu keluarkan ialah RM 30,000

 

Sekiranya kita masih belum mampu menyediakan wang tunai RM 30,000 dan masih lagi ada baki simpanan selepas itu, adalah lebih baik kita menyewa sahaja dahulu. Tambah dulu pendapatan, penuhkan tabung kita.

 

2. Kos penyelenggaraan

Jika kita menyewa, kebiasaannya kos penyelenggaraan ditanggung oleh tuan rumah. Tapi bergantung kepada perjanjian sewaan kita.

Sebab itu, sebelum menyewa, pastikan kita baca dengan terperinci setiap butiran dalam perjanjian sewaan. Jika ada perkara yang kita tak jelas, tanya sahaja kepada ejen hartanah atau pemilik rumah.

Pastikan kita betul-betul faham tanggungjawab penyewa dan pemilik rumah dalam perjanjian sewaan tersebut. Perjanjian sewaan sering kali dipandang remeh oleh penyewa.

Sebab itu, selalu timbul isu seperti penyewa rasa ditipu oleh pemilik rumah, pemilik rumah tak mahu bertanggungjawab terhadap kerosakan rumah dan lain-lain.

Kesudahannya, penyewa juga yang perlu keluarkan kos penyelenggaraan yang sepatutnya ditanggung oleh pemilik rumah. Melainkan jika kerosakan berpunca daripada penyewa sendiri.

Ambil lah sedikit masa untuk teliti perjanjian sewaan. Masa yang diperuntukkan itu dapat membantu menyelamatkan poket kita sekiranya terdapat kerosakan atau pertelingkahan tanggungjawab pada masa hadapan nanti.

Tetapi, sekiranya kita pemilik rumah, sudah pasti kos penyelenggaraan perlu dimasukkan ke dalam bajet kita. Kalau kita duduk rumah seperti pangsapuri perkhidmatan atau kondominium, kos penyelenggaraan ini perlu kita teliti baik-baik.

Pastikan bajet ansuran bulanan kita termasuk sekali dengan kos penyelenggaraan. Jadi, tak adalah kita rasa terbeban di kemudian hari sebab cuai untuk buat bajet rumah dengan lengkap dan sempurna.

 

3. Kebebasan

Sebagai penyewa, sudah pasti kita tiada kebebasan untuk hias atau ubah suai rumah seperti pemilik rumah. Kalau tuan rumah benarkan sekalipun, pasti agak sukar untuk penyewa memindahkan barangan perabot atau ubah suai semula kediaman sekiranya perlu berpindah di kemudian hari.

Jika kita jenis yang gemarkan dekorasi kediaman, berusahalah untuk memiliki rumah idaman sendiri.

 

Ingat, sewa atau beli rumah bergantung kepada kemampuan dan keperluan individu. Usah terikut-ikut dengan trend semasa, nanti apabila sudah terciduk, tiada siapa yang boleh bantu kita.

 

 

 

 

 

Kongsi Melalui:

Related Posts