Menu Close

Miaow Miaow: simbol nilai kekeluargaan yang kuat

miaow miaow picture

Gambar oleh FACEBOOK miaowmiaowfood

Sebut sahaja snek makanan ringan, pasti logo muka kucing tersenyum terbayang di fikiran anda. Rata-rata peminat snek pasti kenal dengan jenama Miaow Miaow.

Ini 3 perkara menarik tentang snek Miaow Miaow:

1. Bermula dengan bisnes runcit, jual apa sahaja yang boleh

Bisnes runcit pertama kali diasaskan pada tahun 1975 oleh adik beradik Chink Poh Cheng dan Chung Poh Lim.

Mereka memperuntukkan modal awal sebanyak RM 8,000 untuk membina bisnes runcit di Batu Pahat, Johor. Sebuah van terpakai digunakan untuk menjual pelbagai jenis barang keperluan termasuklah sabun dan ubat gigi.

Semasa menjalankan bisnes runcit, mereka mendapati bahawa produk makanan ringan lebih mudah didapati dan dijual.

Setelah beberapa tahun menjadi pembekal makanan ringan, mereka membuat keputusan untuk mengeluarkan produk mereka sendiri.

Tetapi, ketika itu, modal dan kepakaran teknikal yang tinggi diperlukan untuk membina kilang pengeluaran sendiri.

Jadi, adik beradik ini membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat kilang lain terlebih dahulu bagi menghasilkan makanan ringan mereka.

2. Kenapa nama Miaow Miaow?

Pada akhir tahun 1989, adik beradik pengasas ini ingin menghasilkan jenama daripada kilang mereka sendiri. Tambahan pula target pengeluaran sebelum ini berjaya dicapai.

Modal untuk membina kilang semakin bertambah. Keyakinan terhadap produk jenama mereka sendiri juga semakin kukuh.

Mereka berbincang bersama ahli keluarga yang lain berkenaan dengan nama jenama snek tersebut.

Ketika itu, kebanyakkan snek tidak mempunyai jenama sebab jenama bukanlah suatu perkara yang penting. Asalkan sedap dan murah, pasti sesuatu snek itu laku.

Tetapi, mereka berfikiran jauh. Mereka berazam agar jenama mereka dikenali sebagai pengeluar snek utama di Malaysia. Mereka mahu kembangkan bisnes supaya setiap ahli keluarga mendapat keuntungan masing-masing.

Menurut Chink, sesebuah jenama perlu mempunyai pengulangan kata dan mudah diingati.

Semasa berbincang, tiba-tiba salah seorang anak buahnya memanggil seekor kucing yang sedang melintas di hadapannya.

“Meow…Meow”

Dari situ lah, timbulnya idea untuk menggunakan perkataan Miaow Miaow sebagai jenama snek makanan ringan keluarga mereka. Miaow juga membawa maksud yang baik dalam bahasa Mandarin iaitu cemerlang.

Akhirnya, kilang pertama Miaow Miaow Food Products Sdn Bhd dibina di sebidang tanah berkeluasan 1 ekar yang terletak di Johor.

3. Tidak pernah rugi

Menurut Chink, sepanjang bisnes keluarganya ini beroperasi, syarikat tidak pernah dilanda masalah kewangan yang teruk.

Hal ini kerana, abangnya menguruskan syarikat dengan cara konservatif. Setiap perbelanjaan dipantau dengan teliti. Pengurusan sekecil-kecil aliran tunai sangat dititikberatkan.

Nampak macam kedekut kan?

Tapi dengan menggunakan cara inilah,bisnes keluarga ini masih kekal bertahan meskipun ketika negara berdepan krisis kewangan terburuk pada tahun 1997.

Tetapi, sebenarnya ada juga pelaburan yang besar telah dilakukan untuk memajukan bisnes mereka.

Kira-kira RM 1.6 juta telah diperuntukkan untuk penjenamaan semula produk keluaran mereka.

Pelbagai penambahbaikan dari aspek pembungkusan dan kualiti makanan telah dilakukan agar setanding dengan snek jenama besar yang lain.

miaow miaow picture

Pasaran luar negara

Selepas 10 tahun beroperasi, akhirnya pada tahun 1990, produk kegemaran rakyat Malaysia ini telah mula dieskport ke luar negara.

Sehingga kini, lebih 40 buah negara di seluruh dunia berjaya ditembusi. Miaow Miaow mensasarkan penguasaan pasaran Eropah, Afrika dan Amerika Syarikat dan lebih 60 buah negara menjelang tahun 2022.

Impian bisnes keluarga ini hanya satu, iaitu untuk menjadi sebuah jenama pengeluar makanan ringan terkemuka global.

 

 

 

Kongsi Melalui:

Related Posts