Menu Close

Apa Itu Defect Liability Period (DLP)?

defect liablity period picture

Gambar oleh cavignac.com

“Aku ni beli rumah baru, tapi macam-macam pulak hal rosak sana sini haish…”

“Beli rumah mahal-mahal, tapi ada rosak pula. Tak nak la beli rumah lagi lepas ni!”

Eh, sampai tak nak beli rumah lagi pula..Jangan risau. Anda pernah dengar tentang Defect Liability Period?

Maksud Defect Liability Period (DLP)

Tempoh Liabiliti Kecacatan atau Defect Liability Period (DLP) merupakan tempoh jaminan daripada pemaju terhadap sebarang kecacatan untuk hartanah yang anda beli.

Berapa lama tempoh DLP?

Kebiasaannya masa tanggungan adalah 24 bulan daripada tarikh anda menerima kunci daripada pemaju. Namun begitu, tempoh ini boleh bergantung juga kepada pemaju anda.

Adakah semua hartanah mendapat DLP?

Dalam Akta Pemajuan Perumahan 1996, jaminan DLP ini hanya merangkumi hartanah hak milik kediaman (residential title).

Bagi hak milik kediaman berstatus strata (strata title), pembeli mempunyai perlindungan tambahan di bawah Akta Pengurusan Strata 2015 untuk urusan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan serta harta milik bersama dalam pembangunan strata.

Contoh Kecacatan Yang Sering Berlaku Untuk Hartanah

Ini adalah antara elemen yang anda boleh pertimbangkan semasa melakukan proses DLP.

  • Sistem Perpaipan

Pastikan tekanan air hartanah anda tidak terlalu rendah dan tiada sebarang kebocoran atau paip yang tersumbat.

  • Lantai dan Jubin

Pastikan jubin dan lantai dipasang dengan kemas, selari dan tiada ruangan kosong diantaranya. Tona warnanya juga seharusnya konsisten.

  • Dinding

Pastikan tiada rekahan atau lembapan yang akan mengundang masalah kulat di dinding. Dinding dan juga cat sepatutnya perlu dilakukan dengan kemas dan rata.

  • Pintu balkoni

Pastikan pintu balkoni boleh dibuka dengan lancar dan tiada sebarang keretakan sekiranya bahannya diperbuat daripada kaca.

  • Pintu

Pastikan pintu dipasang dengan kemas dan tidak tersangkut dengan lantai.

Macam Mana Nak Buat Kalau Rumah Saya Ada Defect?

Setelah anda atau Defect Liability Inspector yang anda upah selesai melakukan pemeriksaan kecacatan ke atas hartanah anda, anda  boleh menghantar tuntutan kepada pemaju. Pemaju mempunyai masa selama 30 hari daripada tarikh penerimaan aduan untuk menjalankan kerja pembaikan hartanah anda.

Setelah selesai, pemaju masih lagi perlu menjalankan pembaikan tambahan sekiranya terdapat lagi sebarang kecacatan yang besar untuk hartanah anda selagi mana hartanah anda masih lagi berada dalam DLP.

Jika pemaju berdegil atau enggan membayar balik kos pembaikan, pembeli boleh menghantar tuntutan (maksimum RM 50,000) kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah untuk diambil tindakan seterusnya.

Selagi kecacatan rumah anda tidak diselesaikan, baki 5% daripada retention sum bank yang sepatutnya diterima pemaju tidak akan diluluskan oleh peguam hartanah anda.

 

 

Kongsi Melalui:

Related Posts