Gambar oleh madaninews.id
“Risau lah, aku ni dah la bujang terlajak, anak tak ada, bisnes tak ada, pencen tak ada. Kalau dah tuan nanti macam mana nak dapat duit..Takkan nak kerja macam zaman muda..Tenaga dah tak berapa kuat nak kerja keras macam dulu”
Jangan risau. Sebab itu lah zaman sekarang ini ramai orang galakkan untuk usaha membeli sebiji rumah walaupun kos rendah di kawasan bandar besar seperti Lembah Klang. Selain boleh dijadikan tempat berteduh tanpa dihalau oleh Tuan Rumah pada bila-bila masa sahaja, anda juga layak untuk mendapatkan Skim Saraan Bercagar apabila sudah lanjut usia kelak.
Apa Itu Skim Saraan Bercagar (SSB)?
Reverse Mortgage atau Skim Saraan Bercagar adalah konsep di mana anda sebagai seorang peminjam akan mendapat duit pada setiap bulan dengan mencairkan nilai aset rumah kediaman anda.
Skim ini adalah produk pembiayaan pinjaman rumah pertama di bawah Cagamas dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Ini adalah sebahagian daripada insiatif untuk menyelesaikan dilema kewangan kebanyakan pemilik rumah yang sudah bersara di Malaysia.
Macam mana dengan hak pewaris rumah?
Meskipun anda bersetuju untuk mencagarkan kediaman anda, anda masih lagi dianggap sebagai pemilik hartanah tersebut. Anda boleh mendiami rumah tersebut dan menerima pendapatan bulanan. Setelah anda meninggal, barulah rumah itu akan dijual oleh pihak Cagamas.
Kalau hasil jualan kediaman tadi rugi, segala baki pinjaman perumahan anda akan ditanggung oleh Cagamas. Sekiranya ada lebihan keuntungan, bakinya akan diserahkan kepada pewaris.
Berbaloi ke ambil skim ni?
Sebelum ini, banyak kes melibatkan pesara yang tidak mampu untuk meneruskan kehidupan seharian di bandar besar, sama ada kerana anak tidak mampu untuk membantu sara atau kerana tidak mempunyai sebarang pewaris. Hanya harta sebuah rumah kecil di bandar besar sahaja yang dimiliki oleh pesara tersebut. Apabila sudah meninggal, timbul pula isu hartanah yang tidak dituntut oleh pewaris dan menyukarkan urusan perpindahan jual beli hartanah tersebut pada masa akan datang.
Jadi, inisiatif reverse mortgage ini adalah sebahagian daripada usaha untuk membantu golongan pesara menampung perbelanjaaan harian menerusi pendapatan bulanan yang diberikan. Duit ini boleh digunakan unutk menampung perbelanjaan seperti kos perubatan dan kecemasan yang lain.
Apa syarat kelayakannya?
Syarat kelayakan untuk peminjam
- Peminjam mestilah berwarganegara Malaysia dan berumur 55 tahun dan ke atas. Semakin berusia, semakin tinggi nilai pinjaman yang anda boleh dapat.
- Pemilik persendirian atau bersama bagi rumah kediaman yang dicagarkan.
- Bagi pinjaman bersama, peminjam bersama boleh terdiri daripada ibu bapa, adik beradik, anak atau rakan kongsi dan tertakluk kepada had umur.
Syarat kelayakan untuk hartanah
- Hartanah mestilah didiami pemilik dan menjadi tempat kediaman utama. Semakin tinggi nilai hartanah, semakin tinggi bayaran yang anda akan terima.
- Hartanah mestilah bebas daripada sebarang komitmen perjanjian seperti gadai janji dan lain-lain liabiliti kewangan.
- Rumah kediaman mestilah hartanah berdaftar di Malaysia yang dipegang atas nama Peminjam atau Peminjam Bersama.
- Untuk pinjaman bersama, ia memerlukan pemilikan hartanah bersama.
Setakat ini, hartanah yang layak cuma yang berada di kawasan Selangor dan W.P Kuala Lumpur sahaja.
Kira pendapatan yang anda boleh dapat menerusi kalkulator khas ini: https://ssb.cagamas.com.my/reverse-mortgage-calculator