Menu Close

Patut Ke Kita Keluarkan Simpanan KWSP?

simpanan kwsp picture

Gambar oleh AZHAR MAHFOF/The Star

“Patut ke tak ya aku keluar KWSP kali ini?”

“Aku tak ada keperluan nak keluarkan pun, tapi tengok orang lain keluarkan macam best pulak..”

“Aku nak keluar dan letak kat tempat lainlah, bukan senang dapat keluar. Lagipun ni kan duit aku..”

Inilah antara delima yang dialami oleh kebanyakkan orang.

Apa itu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan satu skim perancangan persaraan yang dilancarkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 1991. Ini adalah sebagai salah satu inisiatif bagi membantu masyarakat Malaysia untuk mempunyai simpanan hari tua.

Pandemik COVID-19 yang berlaku telah menyebabkan ekonomi dunia terjejas termasuklah kebanyakkan rakyat Malaysia. Ada yang dibuang kerja kerana syarikat tidak mampu lagi membayar gaji, ada yang dipotong elaun tambahan dan ada juga bisnes yang melingkup.

Sumber : Jabatan Penerangan Malaysia

Tekanan perasaan yang mendalam juga berlaku sehingga menyumbang kepada peningkatan peratusan kes bunuh diri di Malaysia.

Justeru, apabila kerajaan Malaysia mengumumkan kebenaran pengeluaran KWSP sehingga maksimum RM 10,000 bagi membantu rakyat yang terkesan agar dapat meneruskan kehidupan, ramai yang ingin mengambil peluang ini.

Namun begitu, ada juga yang masih tertanya-tanya sama ada wajar atau tidak untuk mengeluarkan simpanan KWSP?

Ini adalah 3 kriteria cadangan yang boleh kita ambil kira sebelum membuat keputusan untuk mengeluarkan simpanan KWSP kita atau tidak.

1. Kelangsungan pendapatan

Sumber : iluminasi.com

Tidak kira sama ada kita seorang makan gaji atau berniaga, memastikan kelangsungan pendapatan adalah penting.

Semasa pandemik, kita lihat ramai orang sekeliling kita terutamanya daripada sektor penerbangan, pembinaan, fesyen runcit terjejas teruk.

Sekiranya kita rasa bisnes atau bila-bila masa sahaja kita berpotensi untuk dibuang kerja, keluarkanlah simpanan KWSP itu supaya ada sedikit pendapatan untuk menyara keluarga dalam masa terdekat sementara kita mencari inisiatif kerja atau bisnes lain.

Tetapi, jika kita yakin syarikat tempat kita kerja ataupun bisnes kita kukuh dan mampu untuk beri kita pendapatan berterusan, lebih baik kita tangguhkan dulu niat untuk mengeluarkan KWSP kita.

Sekiranya KWSP yang dipotong secara paksa pun kita tidak boleh simpan, apatah lagi simpanan secara sukarela. Pasti akan ada sahaja alasan untuk kita tidak menyimpan dan akhirnya duit kecemasan pun sudah tiada di masa hadapan.

2. Dana kecemasan

Sumber : lovesspn.com

Okay, katakanlah kita sudah ada dana kecemasan atau simpanan sebelum ini dan pada masa yang sama kita juga mempunyai pendapatan konsisten, lebih baik kita tangguhkan dahulu pengeluaran KWSP.

Jangan hanya disebabkan KWSP itu duit kita, nak keluarkan pun susah sebelum ini, jadi kita lihat inilah masanya untuk kita gunakan duit simpanan kita itu untuk ubahsuai rumah, tukar kereta mewah, belanja kahwin mewah dan melancong sana sini.

Namun begitu, jika kita rasa dana kecemasan kita sudah habis digunakan untuk menampung kos sara hidup sebelum ini, bolehlah dikeluarkan duit KWSP itu untuk menampung kembali dana kecemasan keluarga kita.

Ini hanyalah sebagai buffer sementara kita mengukuhkan kembali kedudukan kewangan kita.

3. Perancangan masa hadapan, jangan FOMO!

Sumber : nihub.co

“Keluarkan je la duit KWSP tu, baik labur dalam saham atau kripto ke, ada jugak untungnya..”

Tak salah untuk kita ada niat gandakan duit, tetapi pertama sekali kita perlu faham.

Setiap pelaburan pasti mempunyai risiko tersendiri. Ada yang berisiko tinggi, ada yang berisiko rendah. Ada yang sesuai untuk dilabur sekarang, ada yang sesuai untuk diperam bagi pelaburan jangka panjang.

Jangan hanya kerana kita lihat ramai orang buat untung menggunakan pelaburan semasa tempoh Pelaksaaan Perintah Pergerakan (PKP) tempoh hari, kita pun nak ikut sama tanpa kita ada ilmu asas pelaburan yang kukuh terlebih dahulu.

Orang lain beli emas, kita juga sibuk nak terus beli emas. Inilah yang orang panggil Fear Of Missing Out (FOMO). Kita bimbang ketinggalan dalam mendapatkan keuntungan.

Sedangkan kita tak kaji dengan terperinci pun bagaimana membeli emas perhiasan itu dapat memberikan kita pulangan pelaburan (ROI) dalam jangka masa pendek sekiranya situasi kecemasan melanda diri kita.

Jika kita seorang yang takutkan risiko tetapi masih lagi ingin cuba-cuba melabur, bolehlah cuba keluarkan sebahagian duit KWSP itu untuk dimasukkan ke dalam skim pelaburan berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji.

Malah, jika kita biarkan sahaja untuk disimpan dalam KWSP pun tidak mengapa kerana kita masih lagi boleh mendapat pulangan dividen.

Cumanya, pulangan dividen bagi instrumen pelaburan berisiko rendah ini tidaklah setinggi pulangan pelaburan berisiko tinggi seperti saham, tukaran asing (forex), kripto, hartanah dan lain-lain.

Tindakan melabur tidak salah untuk menggandakan duit kita. Tetapi, sebaiknya kita melabur menggunakan duit lebihan bukan duit keperluan harian supaya kita tidak terlebih emosi (emotional management) semasa membuat sebarang keputusan dalam pelaburan.

 

Kesimpulannnya, nak keluarkan atau nak simpan terpulang kepada diri masing-masing. Hanya diri kita sendiri sahaja yang benar-benar dapat membezakan antara keperluan atau kehendak diri.

Apa yang penting ialah, pastikan tindakan kita itu adalah yang terbaik untuk kesejahteraan dan kesenangan diri dan keluarga bagi jangka masa panjang.

 

 

 

Kongsi Melalui:

Related Posts